Sunday, January 29, 2012

Fertigasi 1001 Teknik

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entry kali ini bukanlah hendak menjual produk mahupun perkhidmatan, sebaliknya saya ingin berkongsi dengan pembaca budiman tentang teknik ataupun kaedah penjimatan mengusahakan tanaman secara fertigasi. Kaedah penjimatan ini adalah pengalaman saya sendiri dan dari sumber-sumber berkaitan tanaman secara fertigasi.

Umum semua tahu, fertigasi adalah satu kaedah penanaman moden yang melakukan pengairan dan pembajaan serentak keatas tanaman. Mengikut pemahaman saya, kaedah fertigasi ini juga diolah dari kaedah hidroponik. Penanaman menggunakan kaedah fertigasi memberi beberapa kebaikan antaranya nutrien dikawal mengikut pertumbuhan pokok, mengatasi masalah penyakit bawaan tanah, penggunaan baja yang cekap, terjamin kebersihan dan menghindari penyakit, kualiti hasil yang lebih baik, mengawal masalah rumpai, dan modal pusingan yang rendah. Bagaimanapun umum diketahui modal awal yang tinggi diperlukan untuk permulaan projek fertigasi ada sehingga mencecah RM 200K. Bagaimanapun berikut adalah beberapa kaedah atau cadangan yang boleh digunapakai dalam mengurangkan kos permulaan projek fertigasi:-

1. Biji Benih

Cuba menggunakan biji benih yang boleh diproses sendiri, tertutamanya untuk penanaman cili. Walaupun kos untuk mendapatkan biji benih murah tetapi dengan sedikit usaha pasti ada sedikit pengurangan dalam kos projek. bagaimanapun pastikan bijih benih diperolehi dari buah yang berkualiti dan baik.

2. Medium Tanaman

Cuba menggunakan medium tanaman yang murah dan mudah untuk diperolehi. Kebun saya di Kuala Rompin menggunakan kebanyakkannya sekam padi sebagai medium tanaman kerana sabut kelapa susah diperolehi dan kos yang perlu dibawa dari Kuantan agak tinggi. Sebaliknya sekam padi boleh diperolehi percuma dari Kilang Bernas, Sepayang, Kuala Rompin. Disini saya sudah jimat hampir RM 1K.

3. Struktur Pelindung Hujan.

Saya tidak menggunakan struktur pelindung hujan (SPH) dan SPH merupakan penyumbang terbesar dalam kos projek fertigasi. SPH perlu digunakan jika kawasan tersebut menerima hujan lebat yang berpanjangan contohnya seperti di Cameron Highlands. Melainkan anda mendapat bantuan dari Jabatan-jabatan kerajaan dalam membangunkan projek fertigasi.

4. Polibeg

Hitam atau putih? dua-dua boleh dipakai tetapi kos untuk membeli polibeg putih adalah lebih mahal berbanding polibeg hitam. Lagipun melalui pengalaman saya penggunaan polibeg putih kurang memberangsangkan kerana polibeg putih mudah terkoyak dan mereput berbanding hitam. Jadi saya telah kerugian dalam kos membeli polibeg.

5. Pengurusan Tapak

Sebaiknya anda merancanglah dahulu bagaimana rupa bentuk tapak projek fertigasi anda. Permulaan projek fertigasi saya tidak merancang atas kertas sebaliknya terus melaksanakan mengikut akal fikiran saya, akhirnya saya terpaksa menanggung kos baru untuk menyusun tapak projek fertigasi saya. Pengurusan tapak yang baik menjamin tiada pengulangan kos atau pembaziran projek. Perancangan yang baik juga menjamin kualiti pengeluaran dan boleh mengatur kos keperluan projek.

6. Penggunaan Baja

Disini mungkin ada pengusaha yang tidak sependapat dengan saya, mengikut pengalaman saya melalui projek di Rompin saya hanya menggunakan Baja AB stater dengan bantuan baja organik dan kimia tambahan (tahi ayam / baja foliar). Baja AB Starter lebih murah berbanding baja AB buah. Bagaimanapun jika anda berkemahiran sendiri membuat bancuhan baja lagi bagus.

Apapun ini adalah beberapa langkah yang boleh diambil sebagai langkah atau kaedah penjimatan dalam menjayakan projek fertigasi anda.

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment